Jul 16, 2011

Pahala Dalam Sistem MLM

     Pepatah arab ada menyebut: ‘dunia itu ladang akhirat’. Pernahkah kita terfikir bahawa dunia ni adalah ladang akhirat? Dan suatu hari nanti di akhirat sana, kita akan menyemai semua hasil pahala yang kita telah tanam di dunia? Jika kita pernah terfikir tentang ini, maka beruntunglah meskipun kita masih belum pernah melakukan apa-apa untuk kehidupan kita disana. Sekurang-kurangnya kita mempunyai kesedaran dan suatu hari nanti hati kita pasti tergerak mahu melakukan sebanyak mungkin amalan untuk dijadikan bekal menghadap Allah di sana.

     Setiap manusia ada cara sendiri mengumpul pahala. Ada yang mengumpulnya dengan banyak beribadah di masjid. Dan ada juga yang mengumpul pahala dengan memberi khidmat masyarakat. Tidak kurang ada yang suka bersedekah dengan hartanya. Ada juga yang menambah pahala dengan amalan-amalan wajib dan sunatnya. Biar apa pun caranya, matlamatnya mesti jelas. Mengumpul pahala sebanyak mungkin agar timbangan amalan kebaikan di padang mahsyar nanti lebih berat dari timbangan dosa. Maka ketika ini syurgalah tempat yang layak untuknya.

     Pahala yang dicari bukanlah datang bergolek, tetapi memerlukan usaha. Sebanyak mana pahala yang diperoleh, bergantung pada usahanya. Banyak usahanya, maka insyaallah banyak pahalanya. tapi anda pernah dengar sistem MLM? Jualan pyramid? Bagaimana ia berfungsi dan apa kaitannya dengan pahala? Jom kita koreksi bersama.

     Seperti mana harta, mencari pahala juga memerlukan teknik yang betul dan bijak. Bagaimana mahu mengumpul pahala yang banyak meskipun dengan kerja yang sedikit. Sistem MLM adalah rahsianya. Cuba kita bayangkan, kita mengetahui satu perkara kebaikan dan kita mengamalkannya sendirian tanpa mengajarkan pada orang lain. Maka pahala yang diperoleh ketika itu hanya satu. Dan cuba kita bayangkan pula kebaikan yang kita ketahui itu kita kongsikan bersama orang lain. seperti tersebut di dalam hadis:

Rasulullah s.a.w bersabda: “sampaikan dariku walaupun satu perkataan”. 

     Hasil perkongsian itu, orang lain pula akan melakukan kebaikan tersebut. Maka pahala orang yang dikongsi itu akan diperoleh juga oleh orang yang berkongsi itu. Sama seperti sistem MLM. Orang di atas akan memperolehi keuntungan hasil kerja orang bawahannya.
 
      Mencari pahala pula bukanlah bermakna kita perlu meninggalkan dunia. Tetapi kita perlu melakukan kerja dunia dan akhirat seiring. Islam tidak pernah mengasingkan dunia dan akhirat. Sedangkan para nabi dan sahabat dulu pun bekerja sebagai peniaga. Tetapi kerjanya itu tidak pernah melalaikannya dari mencari pahala. Sebagaimana kata-kata cendekiawan: “bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok”. Islam itu kan sempurna. Sesuai dengan fitrah manusia.

     Kepada penulis blog, kita sebagai penulis pun dapat melakukan sistem MLM. Bagaimana? Mudah sahaja. Cuba kita selitkan di setiap penulisan kita sesuatu yang bermanfaat untuk manusia. Tidak kira menyentuh soal agama atau tidak. Asalkan tulisan kita itu menggalakkan manusia untuk melakukan kebaikan. Bayangkan, walau hanya dengan satu perkataan kita bakal beroleh pahala, apatah lagi 10, 100 atau 1000 perkataan. Cuba kita fikirkan jika apa yang kita tulis dikongsikan pada orang lain, maka pahala yang bakal kita perolehi juga berganda. Macam sistem MLM. Mudah kan?

     Teringat pula aku pada kata-kata seorang sahabatku kepadaku: 
“ana cukup jeles dengan penulis. Kerana mereka memperolehi pahala meskipun mereka sedang tidur”
“aik? Apa yang anta cuba maksudkan?”
“cuba anta tengok pada penceramah, mereka berceramah sana sini. memang orang yang mendengar akan melakukan kebaikan hasil ceramahnya. Tetapi dia perlu bekerja keras ke sana ke sini untuk berceramah. Berbanding penulis yang hanya meninggalkan tulisannya di dalam blog atau buku yang ditulisnya. Ketika dia tidur, orang akan membacanya dan seterusnya mengamalkan kebaikan hasil dari tulisan itu. Penulis mendapat pahala walaupun dia sedang tidur.”

     Jadi tunggu apa lagi wahai penulis-penulis sekalian. Jom kita jadi penulis yang memperolehi pahala meskipun sedang tidur. Selitkan sedikit nasihat atau kebaikan di dalam tulisan kita. Meskipun sedikit. Insyaallah akan dinilai Allah sebagai kebaikan yang berterusan. Jom.

** SILA SEBARKAN PADA KENGKAWAN UNTUK PENGETAHUAN MEREKA SERTA PENAMBAHAN ILMU DENGAN KLIK "LIKE" DI BAWAH POST DAN "SHARE" DI ATAS POST. DISAMPING ITU, MENDAPAT PAHALA APABILA MEMBANTU SESAMA MANUSIA ^_^

No comments:

Post a Comment